DALIL-DALIL KECINTAAN TUHAN KEPADA HAMBA.
يُحِبُّهُمْ وَيُحِبُّونَهُ
“Dia mencintai mereka dan mereka pun mencintaiNya.
(Al Maidah :54)
إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ الَّذِينَ يُقَاتِلُونَ فِي سَبِيلِهِ صَفًّا
“Sesungguhnya Allah itu mencintai orang-orang yang berperang di jalan Allah, dalam barisan perang yang teratur.”
(As Saf :4)
اللّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
“Sesungguhnya Allah itu menyukai orang-orang yang bertaubat dan menyukai orang-orang yang bersuci.”
(Al Baqarah : 222)
Diriwayatkan oleh Anas dari Nabi SAW, baginda ada bersabda:
“Apabila Allah Taala mencintai seorang hamba, nescaya tidaklah dosa mendatangkan melarat baginya. Dan orang yang bertaubat daripada dosa itu seperti orang yang tidak mempunyai dosa.”
(Ibnu Majah)
Makna hadis di atas ialah apabila Allah Taala mencintai hamba-Nya, sudah tentu Dia akan menerima taubat hamba-Nya itu sebelum mati. Maka dosa-dosa yang terdahulu langsung tidak akan mendatangkan apa-apa kemelaratan kepada hamba tersebut, sekalipun banyak dosanya. Ini bolehlah disamakan dengan orang yang baru memeluk agama Islam, dosa-dosanya ketika kufur dahulu tidak akan diambil kira.
Firman Allah SWT:
قُلْ إِن كُنتُمْ تُحِبُّونَ اللّهَ فَاتَّبِعُونِي يُحْبِبْكُمُ اللّهُ وَيَغْفِرْ لَكُمْ ذُنُوبَكُمْ
“Katakanlah, kalau betul kamu mencintai Allah, ikutlah aku (Muhammad), nescaya kamu akan dicintai oleh Allah dan diampun-Nya dosamu.”
(Ali Imran : 31)
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya Allah Taala memberikan dunia kepada orang yang disukai-Nya dan (juga kepada) orang yang tidak disukai-Nya. Dan tidak diberi-Nya iman, selain kepada orang yang disukai-Nya.”
(Al Hakim & Baihaqi)
Sabda Rasulullah SAW:
“Siapa yang merendahkan diri kerana Allah, nescaya dia diangkat oleh Allah. Siapa yang sombong, nescaya direndahkan oleh Allah. Dan siapa yang membanyakkan zikir kepada Allah, nescaya dia dicintai oleh Allah.”
(Ibnu Majah)
Kecintaan kepada Allah itu adalah suatu hal yang ghaib, yang tidak dapat dilihat. Maka bagaimanakah seorang hamba itu hendak mengetahui yang dirinya adalah kekasih Allah? Kata Imam Al Ghazali, tanda-tandanya adalah seperti berikut:
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila Allah mencintai seorang hamba, nescaya diuji-Nya. Maka apabila (hamba itu) dicintai-Nya dengan kecintaan yang sangat (besar), nescaya diiqtina’kannya.” Lalu ditanyakan: “Apakah iqtina’itu?” Nabi SAW menjawab: “Allah tidak meninggalkan untuknya keluarga dan harta.”
(Thabrani)
Inilah salah satu daripada pelbagai jenis ujian Allah untuk hamba yang dicintai-Nya, iaitu mereka diuji dengan ketiadaan keluarga dan harta.
Sabda Rasulullah SAW:
“Apabila Allah mencintai seseorang hamba, nescaya diuji-Nya. Kalau hamba itu bersabar, nescaya dipilih-Nya. Kalau hamba itu redha, nescaya disucikan-Nya.”
Kata sesetengah ulama: “Apabila aku melihat engkau mencintai-Nya (Tuhan) dan aku melihat Dia menguji engkau maka ketahuilah, sesungguhnya Dia hendak menyucikan engkau.”